Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarrak...



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan.
Inilah yang sering kita doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan.”

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih,
salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke
atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan
ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.
Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi.”

(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa
yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya
yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.

Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa
tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas
terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah
dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya.

No comments: